Kegemparan di Madinah Cerita Fitnah

Muslihat Kaum Munafiq

Di Madinah, terdapat golongan Munafiq iaitu jenis yang berpura-pura dalam agama Islam. Mereka sebenarnya tidak berpuas hati dengan kekuasaan Islam di Madinah dan pengaruh yang wujud. Maka, golongan Munafiq ini berusaha melaga-lagakan dua golongan yang telah bersatu iaitu golongan Ansar dan Muhajirin dengan cuba pengaruhi kaum Ansar untuk tidak lagi bersekutu dengan kaum Muhajirin, serta meninggalkan Islam dan kaum Muslimin. Mereka mendesak kaum Ansar untuk berhenti memberikan pertolongan kepada Muhajirin kerana sebahagian mereka berkata, berdasarkan yang diceritakan dalam firman Allah:

"Sungguh, jika kita kembali ke Madinah (kembali daripada Peperangan Bani Mustaliq), orang yang kuat pasti mengusir orang yang lemah di sana."

al-Quran 63:8

Abdullah bin Ubay, yang merupakan salah seorang golongon Munafiq di Madinah, telah melihat Aisyah pulang bersendirian tanpa Rasulullah di sisi, malah bersama seorang pemuda asing. Baginya, dia telah jumpa peluang untuk memberikan tamparan kepada Nabi Muhammad dan kaum muslimin. [4][5][6]

Ketika berita tuduhan dan fitnah itu sampai ke telinga umat Islam yang berpandangan bersih dan para sahabat yang terkemuka, mereka telah mengetahui bahawa perkara itu hanyalah rekaan dan fitnah semata-mata. Namun, tuduhan Abdullah bin Ubay telah dibenarkan oleh tiga orang lain iaitu Hassan bin Thabit, Hamnah binti Jahsy dan Mishtah bin Uthathah, padahal Hassan dan Hamnah tidak menyaksikan langsung peristiwa tersebut kerana keduanya tidak menyertai peperangan Bani Mustalaq. Hassan menyebarkan fitnah bermotifkan permusuhan peribadinya dengan Shafwan dan iri hati melihatkan kaum Muhajirin mendapat posisi yang lebih terhormat berbanding dengan kaumnya sendiri di Madinah.[7]

Hamnah binti Jahsy pula ialah seorang saudara perempuan kandung kepada Zainab binti Jahsy, isteri Rasulullah . Beliau sangat mengetahui bahawa Rasulullah lebih menyayangi Aisyah. Maka, untuk menjatuhkan martabat Aisyah di hati Rasulullah dan mengalihkan cinta baginda kepada Zainab, Hamnah menyokong desa-desus yang tersebar mengenai keperibadian Aisyah.[8]

Mishtah pula sokongannya terhadap fitnah dan pembohongan ini tidak dapat dipastikan kerana beliau tidak mempunyai motif yang jelas untuk membenarkan tuduhan ini terutamanya kerana Mishtah itu pernah diasuh oleh Abu Bakar iaitu ayah Aisyah yang merasa kasihan melihatkan keadaan kehidupannya yang memerlukan perhatian. Apatah lagi, beliau masih lagi berhubungan rapat dengan Abu Bakar. Sehingga kini, motif Mishtah masih menjadi tanda tanya kebanyakan sarjana.[9]

Mula tersebarnya fitnah

Setelah sampai di Madinah, Aisyah telah jatuh sakit selama sebulan. Tanpa beliau menyedari, dalam tempoh yang sama, orang ramai sedang menyebarkan kisah yang kononnya beliau bersekedudukan dengan Safwan dalam perjalanan pulang dari penempatan Bani al-Mustalaq.

Pada suatu ketika dalam keadaan Aisyah sedang pulih, Ummu Mistah binti Abu Ruhmi yang menemaninya ketika itu telah secara tidak sengaja membongkarkan cerita kepada beliau. Kisah yang baru didengarinya itu menyebabkan sakitnya itu bertambah berat akibat daripada perasaan terkejut, malu, sedih, kecewa dan tertekan.

Kisah yang tersebar itu memberi kesan kepada Rasulullah sendiri apabila Aisyah sendiri merasakan kedinginan Rasulullah semasa tempoh kesakitan beliau. Terdapat riwayat yang menceritakan kisah sedih antara Rasulullah dengan Aisyah sewaktu tempoh ujian tersebut. Ketika Rasulullah datang berziarah ke rumahnya, dikhabarkan bahawa Rasulullah bertanya dengan suara yang serius tentang khabar Aisyah. Aisyah yang perasan tentang hal itu meminta izin untuk ke rumah ibu bapanya.

Sebaik sahaja sampai di sana, Aisyah bertanya kepada ibunya, Ummu Rumman tentang fitnah yang menimpa dirinya. Ibunya hanya mampu menjawab, "Wahai anakku! Tabahkanlah hatimu! Demi Allah, berapa orang sahaja wanita cantik berada di samping suami yang menyayanginya dan mempunyai beberapa orang madu tidak difitnahkan, bahkan ramai yang dilontarkan fitnah terhadapnya." Mendengar jawapan ibunya itu, beliau sedar yang tuduhan yang dilontarkan kepada diri beliau amat serius. Maka, Aisyah berterusan menangis pada malam tersebut dan tidak dapat tidur sehingga pada pagi keesokannya.[10]

Jalan buntu

Setelah beberapa ketika, Rasulullah memanggil Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid untuk membincangkan perihal isteri baginda itu. Usamah memberi pertimbangan kepada Rasulullah tentang penjagaan Allah terhadap isteri baginda. Manakala Ali bin Abi Talib pula berkata yang Allah tidak menyulitkan baginda malah menganjurkan bahawa wanita selain daripada Aisyah masih ramai.

Ali mencadangkan kepada baginda untuk bertanya kepada pembantu rumah untuk memberikan keterangan. Lantas Rasulullah memanggil Barirah dan jika dia pernah melihat sesuatu yang meragukan tentang Aisyah. Barirah menafikan sebarang perkara tersebut.

Kemudian Rasulullah berdiri di atas mimbar meminta pertolongan untuk membersihkan segala fitnah yang dilontarkan oleh Abdullah bin Ubay bin Salul itu. Dalam khutbah baginda, baginda bertanya siapakan yang ingin menolong baginda dari orang yang sanggup melukai hati keluarga baginda.

Lalu Saad bin Muaz Al-Ansariy bangun dan berkata, "Aku yang akan menolongmu daripada orang itu wahai Rasulullah. Jika dia daripada golongan Aus aku akan memenggal lehernya dan sekiranya dia dari kalangan saudara kami daripada golongan Khazraj, perintahkanlah aku nescaya aku akan melaksanakan segala perintahmu itu". Mendengar kata-kata tersebut lantas Saad bin Ubadah, penghulu golongan Khazraj, bangun kerana tersinggung dengan kata-kata Saad tadi dan menghinanya. Berikutan itu pula, Usaid bin Hudair, sepupu Saad bin Muaz bangun dan menuduh Saad bin Ubadah seorang munafik yang membela orang-orang munafik. Maka terjadilah pertengkaran hebat antara golongan Aus dan Khazraj, sehingga mereka hampir membunuh antara satu sama lain.[11]

Rasulullah masih tetap berdiri di atas mimbar sambil menenangkan mereka sehinggalah mereka terdiam kerana melihat Rasulullah diam.

Melihat keadaan itu, Aisyah menangis sepanjang hari. Ketika ibu bapa Aisyah sedang berada bersama Aisyah, seorang perempuan Ansar datang meminta izin menemui beliau. Setelah diizinkannya, dia terus masuk lalu duduk sambil menangis.

Ketika itu juga, Rasulullah masuk memberi salam, lalu duduk bersama Aisyah. Sejak sebulan iaitu sejak bermulanya fitnah terhadap Aisyah tersebar, baginda tidak pernah berbuat demikian. Rasulullah mengucapkan dua kalimah Syahadah ketika duduk kemudian bersabda:

"Wahai Aisyah! Aku ketahui berbagai cerita telah diperkatakan tentang dirimu. Jika engkau memang tidak bersalah, Allah pasti tidak akan menyalahkan kamu. Tetapi seandainya engkau bersalah, pohonlah keampunan daripada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya kerana sesungguhnya apabila seorang hamba mengaku berdosa, kemudian bertaubat nescaya Allah pasti akan menerima taubatnya."[12]

Mendengarkan sabda tersebut, ibarat halilintar, Aisyah bertambah sedih sehingga tidak terasa air mataku menitis. Aisyah memohon untuk ayahandanya dan ibundanya untuk membelanya tetapi mereka tidak tahu apa yang harus diperjelaskan.

Aisyah enggan mengulas panjang kerana beliau yakin beliau tidak bersalah. Sambil mengelap air matanya, Aisyah berkata:

"Aku hanya mampu mengatakan seperti yang pernah dikatakan oleh ayah Nabi Yusuf, 'bersabar lebih baik, dan kepada Allah sahajalah aku memohon pertolongan atas apa yang kalian ceritakan.'"[13]

Aisyah yang ketika itu sudah tidak tahu apa lagi hendak dilakukan, beredar ke tempat tidurnya dan berbaring dengan keyakinan bahawa Allah akan menunjukkan bahawa aku tidak bersalah.

Rujukan

WikiPedia: Cerita Fitnah http://darmawijaya.blogspot.com/2004_09_01_archive... http://m44lucih4.blogspot.com/2007_09_01_archive.h... http://mutiaraidamanku.blogspot.com/2011/01/hadith... http://images.umaralfateh.multiply.com/attachment/... http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=nirmala http://www.amrkhaled.net/articles/articles1143.htm... http://tanzil.net/#trans/ms.basmeih/24:11-20 http://tanzil.net/#trans/ms.basmeih/63:008 http://abdurrahman.org/qurantafseer/ibnkathir/ibnk... https://ms-my.facebook.com/permalink.php?story_fbi...